Thursday, 4 October 2012
Ilmuwan Islam: Teori Matematik Al-Majriti diakui seluruh dunia
PROFIL
Nama: Abu Al-Qasim Maslamah bin Ahmad
Gelaran: Al-Majriti
Tarikh lahir: 338 Hijrah bersamaan 950 Masihi
Tempat lahir: Majrit (Madrid)
Meninggal dunia: Tahun 398 Hijrah bersamaan 1007 Masihi di Andalus
Sumbangan: Ilmuwan Arab Andalus yang pertama dalam bidang matematik dan ilmu astronomi
ABU Al-Qasim Maslamah bin Ahmad atau Al-Majriti diibarat ensiklopedia matematik, astronomi dan ilmu kimia, kerana memiliki pengetahuan luas dan mendalam mengenai sumber maklumat bidang berkenaan.
Beliau juga terkenal sebagai ilmuwan Islam yang sangat cemerlang di Andalus. Hakikat itu diakui ilmuwan Barat yang mengagumi buku hasil tulisannya, terutama mengenai akaun perdagangan.
Kepakarannya dalam teori bilangan dan angka menjadikan buku berkenaan rujukan seluruh dunia, selain hasil karangan mengenai perhitungan kejuruteraan.
Seperti biasa, pemikiran Barat menciplak hasil penemuan cendekiawan Islam tetapi apabila sudah maju, mereka lupa pihak yang membentuk peradaban kemajuan itu.
Al-Majriti berbeza dengan ilmuwan lain kerana ketelitian serta ingatannya yang kuat. Beliau sering menekankan bahawa mereka yang dikhususkan dalam bidang analisis sains seperti kimia, juga perlu mempelajari ilmu matematik dan sains.
Dengan gabungan pengetahuan itu katanya, umat Islam akan memiliki kelebihan dalam pekerjaan dari segi teori dan praktikal.
Penghasilan air raksa menunjukkan ketekunan dan ketelitian Al-Majriti apabila melakukan eksperimen yang akhirnya membawa kejayaan kepada kerjaya beliau.
Eksperimen yang terkenal itu memperlihatkan bagaimana beliau menukarkan satu perempat tabung air raksa menjadi serbuk berwarna merah, selepas diletak di atas api selama 40 hari.
Al-Majriti akan memerhatikan eksperimennya itu dari semasa ke semasa untuk melihat perubahan pada air raksa yang membentuk oksida raksa hasil proses perubahan secara kimia.
Sebagai ilmuwan yang teliti dalam kerjayanya, beliau sentiasa mendorong penyelidik untuk mengkaji bahan kimia melalui proses percubaan di makmal.
Kesimpulan yang dicapai oleh Al-Majriti daripada kaedah percubaan di makmal ialah bahan yang terhasil adalah sama dengan kumpulan bahan kimia yang diuji melalui proses makmal.
Sebuah penulisan ilmiah Al-Majriti yang terkenal ialah mengenai astrolab, iaitu sebuah peralatan kuno untuk mengukur ketinggian bintang di langit.
Ia adalah cakera yang diperbuat daripada kayu atau logam mempunyai ukuran darjah di tepinya dan di tengahnya ada sebuah jarum penunjuk yang boleh bergerak.
Beliau menulis dua buku dalam bidang kimia bertajuk Rutbaj Al-Hakim dan Ghayah Al-Hakim yang menjadi rujukan ilmuwan Timur mahupun Barat hingga hari ini.
Menyedari pentingnya buku Ghayah Al-Hakim, Raja Alfonso memerintahkan agar buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1252 Masihi.
Buku lain karangan Al-Majriti ialah Thimar Al-Adad yang dikenali sebagai Al-Mu'amalat, Ikhtisar Ta'dil Al-Kawakib Min Zij Al-Battani, Rutbah Al-Hakim Fi Al-Kimiya, Al-Ahjar Rawdhah Al-Hada'iq wa Riyadh Al-Khala'iq serta Risalah Al-Asturlab, merangkumi ilmu sejarah, tabii dan pengaruh alam sekitar terhadap kehidupan.
Al-Majriti mempunyai ramai murid yang berjaya dalam kehidupan, seperti Abu Al-Qasim Al-Ghirnati, seorang jurutera dan ilmuwan dalam bidang perubatan dan Abu Al-Hakam Al-Karmani, seorang penduduk Cordova yang sangat terkenal sebagai pakar bedah dan jurutera.
Di sebalik kesibukannya mendalami pelbagai ilmu pengetahuan serta menterjemah buku ilmiah Yunani, Al-Majriti menggemari muzik, yang katanya, mempunyai persamaan dengan pengiraan ilmu matematik.
Subscribe to:
Posts (Atom)