Thursday, 20 September 2012

Sains & Teknologi Zaman Sebelum Islam

Sains dan Teknologi yang ada pada hari ini adalah hasil daripada perkembangan yang berlaku semenjak beribu-ribu tahun yang lalu melalui beberapa tamadun manusia. Ia merupakan daya usaha manusia memahami alam dan seterusnya berikhtiar untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Setelah mengalami perubahan yang begitu pesat mengikut keperluan masyarakat, peranan sains menjadi lebih kompleks dan kadang kala boleh menimbulkan kesan negatif. Petunjuk kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perkembangan sains dan teknologi. Justeru itu program pendidikan sains dan teknologi adalah penting dan perlu diberi penekanan yang sewajarnya bagi melahirkan warganegara seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020.
SEJARAH SAINS

Sains moden yang lahir daripada tamadun barat itu bukanlah suatu yang baru dan wujud tersendiri. Ia merupakan rantaian perkembangan sejak zaman dahulu daripada sains tamadun Mesir Purba, Yunani, India, China, Islam sehinggalah kepada zaman pertengahan di Eropah. Walau bagaimanapun setiap tamadun tersebut mempunyai ciri-ciri khusus dari segi bentuk dan falsafah.

Sains moden berbeza daripada sains zaman pertengahan dan juga daripada sains Islam dari segi falsafahnya. Sains moden tidak meletakkan ketuhanan sebagai sumber utama pemikiran, tetapi sebaliknya meletakkan akal manusia sebagai pusat yang mejadikan penentu segala-galanya. Akhirnya sains moden menganggap segala fenomena alam dapat dijelaskan melalui akal fikiran semata-mata dan tidak memerlukan pertolongan daripada Tuhan. Falsafah sains sebegini menjadi pegangan sebahagian besar ahli sains hari ini khasnya di Barat.

Kebanyakan sarjana Islam pada zaman kegemilangan, bermula dengan pengajian agama sebagai ilmu asas, seterusnya mempelajari dan menerokai ilmu-ilmu sains kemudiannya. Ibn Sina yang dikenali sebagai ahli falsafah al Quran sejak berusia sepuluh tahun. Begitu juga dengan sarjana Kristian pada zaman pertengahan dari segi pendidikannya juga telah menerima ilmu bersepadu kerana mereka rata-rata menerima pendidikan di biara. Copernicus pada mulanya belajar untuk menjadi ahli gereja yang unggul, tetapi kemudiannya terkenal sebagai ahli astronomi.

Antara tamadun besar manusia yang telah menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan sains ialah Tamadun Mesir Purba, Tamadun Yunani, Tamadun India, Tamadun China, Tamadun Islam, Tamadun Eropah Zaman Pertengahan, Tamadun Eropah Renaissance dan Zaman Revolusi Sains hinggalah ke hari ini.


SAINS MESIR PURBA

Tamadun Mesir Purba muncul sejak 3000 SM. Mereka memperkenalkan penggunaan rajah dan simbol dalam ilmu matematik. Konsep jam masa sudah pun wujud pada ketika itu. Satu hari dikira daripada permulaan naik matahari hingga naik matahari keesokan harinya. Teknologi mereka yang mengkagumkan manusia ialah teknologi binaan piramid. Setiap piramid dibina daripada bungkah batu kapur yang berat setiap satunya 2.5 tan. Untuk membina sebuah piramid, berjuta-juta bungkah batu kapur diperlukan. Piramid Khubu Siva dibina daripada 2.3 juta bungkah batu kapur.


SAINS YUNANI

Dalam perkembangan tamadun dunia, Tamadun Yunani telah dianggap oleh ahli sejarah Eropah sebagai tamadun yang amat penting. Tamadun ini menjadi salah satu unsur penting dalam Tamadun Barat. Sains Yunani melahirkan ramai ahli falsafah dan ahli matematik terkenal seperti Thales (624 - 565 SM), Pythagoras (580-500 SM), Plato (427 - 347 SM) dan Aristotles (384 - 322 SM).

Teorem Pythagoras merupa salah satu contoh yang digunakan sehingga hari ini. Archimedes (287 - 212 SM) pula merupakan seorang sarjana fizik yang termasyhur. Beliau dikenali kerana jeritannya Eureka!, Eureka! (Ku jumpa!) ketika beliau memperolehi ilham untuk menyelesaikan masalah bagi menentukan ketulenan
emas. Hippocrates yang dianggap sebagai bapa perubatan dikenang sehingga ke hari ini melalui angkat sumpah doktor sebelum mereka mengamalkan perubatan.

Idea tentang atom dipelopori oleh Leucippus dan Democretos. Idea ini seterusnya dikembangkan oleh John Dalton, seorang ahli sains barat dalam abad kesembilan belas.


SAINS INDIA

Tamadun India adalah antara yang tertua. Dari segi perkembangan sains terdapat dua zaman; Zaman Sulvasutra (800 - 300 SM) dan Zaman Siddhanta (selepas 300 SM). Antara contoh sumbangan tamadun ini ialah dalam bidang pembedahan. Mereka boleh membuat pembedahan mata untuk mengubati penyakit katarak.
Kewibawaan perubatan India terletak dalam empat kitab iaitu Caraka, Susruta, Atreya dan Vagbhata. Mereka juga telah melakukan pembedahan yang kita kenali sekarang sebagai pembedahan plastik apabila mereka menampal telinga seorang pesakit dengan kulit yang di ambil daripada tempat di badan pesakit itu. Perkembangan Tamadun India banyak dipengaruhi oleh Tamadun Yunani.

1 comment:

  1. Zaman sebelum Islam adalah inspirasi kepada perkembangan sains dan teknologi yang semakin rancak. Dengan melihat beberapa zaman sebelum Islam seperti zaman Yunani, Mesir Purba, India dan beberapa lagi, kita dapat melihat bagaimana penggunaan bidang matematik, astronomi dan juga perubatan yang menjadi titik mula kepada ilmu sains dan teknologi yang wujud pada masa kini. pengenalan beberapa teori yang masih digunakan hingga ke saat ini selain diaplikasikan dalam kajian seharian.

    ReplyDelete